KATA ALU - ALUAN PENGETUA SMK SURA



Alhamdulillah. Syukur  dapat kita berkhidmat semula dalam sesi persekolahan tahun 2017 yang merupakan tahun akhir bagi Gelombang Pertama dalam  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.  Kita semestinya lebih memahami  3 Gelombang, 5 Aspirasi Sistem dan 6 Aspirasi Murid serta 11 Anjakan. Sebenarnya kita sangat dituntut bukan sekadar tahu dan mahu buat tetapi yang lebih penting ‘boleh buat’ dan menerapkannya dalam tanggungjawab hakiki kita  pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Dalam  Visi dan Misi Sekolah, pendidikan berkualiti merupakan satu aspek sangat penting. Setiap warga SEMESRA disaran menghayati dan mempraktikkanya. Bermula daripada pengurusan, guru, murid dan anggota kumpulan sokongan (AKP); semua yang terlibat di bawah bumbung SEMESRA ada peranan   masing-masing. Kejayaan cemerlang tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan dokongan oleh semua pihak. Semua warga sekolah mempunyai matlamat yang satu untuk mendidik pelajar supaya menjadi insan terdidik disamping mencapai aspirasi negara maju menjelang 2020. Objektif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan bangsa Malaysia taat setia dan bersatu padu.  Di samping itu juga KPM berhasrat dapat melahirkan insan beriman, berakhlak mulia, berketrampilan dan sejahtera.

Kita tidak mahu pelajar kita datang ke sekolah tanpa hala tuju yang jelas.
Ponteng perhimpunan; ponteng kelas; tidak hormat guru dengan tingkahlaku biadap terhadap guru tidak boleh diterima lagi. Program HEM mestilah dirancang dan dilaksanakan bagi mengubah sikap pelajar tersebut sebagaimana  Perancangan Strategik 2015 – 2018 daerah Dungun.  Kita mahu pelajar kita datang ke sekolah dengan matlamat yang satu dan jelas. Mahu belajar dan mudah diajar. Hormat guru dan seluruh warga SEMESRA. Kita mahu mereka menjadi insan terdidik dengan mempunyai sahsiah terpuji  yang bercirikan murid Terengganu Model Pelajar 
Terengganu Pasca 2020: Pandai Solat, Pandai Al-Quran, Pandai Komputer,  Mempunyai keyakinan dan harga diri yang tinggi, Mengamalkan budaya yang menarik.

Guru- guru digalakkan mengamalkan  Komuniti Pembelajaran Profesioanal (PLC). Jabatan Pendidikan Terengganu mewajibkan guru Bahasa Inggeris mengamalkan PLC. Contohnya: strategi PLC menggunakan Protokol Perbincangan dengan mengadakan mesyuarat bulanan membincangkan aspek PdP mata pelajaran masing-masing.  Kritikan Video Pengajaran Guru dengan menonton  dan berbincang  klip video pengajaran guru dengan mengkaji dan membaiki kelemahan PdP guru. Semua strategi PLC  dapat memantapkan PdP guru menjadikan lebih berkesan dan berkualiti sebagaimana  ditekankan dalam visi dan misi sekolah.
Sekian , terima kasih.

En. Che Rashid Bin Sulong
Pengetua SMK Sura